Halaman

Anugerah Skrin (ASK) 2016 di PICC Jumaat ini

Asha Lya | November 18, 2016 | 0Komen | >
Assalamualaikum






Tahun ini sesuatu yang menarik dilakukan apabila selebriti serba boleh, Alif Satar diberi penghormatan mengendalikan ASK 2016 yang bakal berlangsung Jumaat nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November 2016, Jumaat 9 malam dan disiarkan di TV3.


Ia membabitkan pencalonan

Drama Terbaik
Filem Terbaik
Penerbitan Dalaman dan Teknikal
Drama Rantaian Popular Media Massa.

Drama/Telefilem yang bertanding:
Bila Tiba Saatnya
Anak Ibu Buangan Ibu
Cermin Kasih
Pondok Itu Rumahku
Fatin
Calon Syurga
Kuharamkan Susu Itu
Khilaf Seorang Isteri
Ramadan Berteduh Syawal.

Drama Rantian:
Menongkah Kasih
Satu Cinta serta
Kau, Aku, Kita

Filem:
CCTV
Polis Evo
Bravo 5
Jejak Warriors
Rembat
Jwanita
Girlfriend Kontrak
Banglo Berkunci
Love Supermoon
Badi
Keranda Tok Wan Terbang
Langit Cinta
Isteri Untuk Dijual
Mat Moto
Munafik
Pelepas Saka
Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit
Showdown
Redha
Nota


Bukan mudah sebenarnya untuk mengendalikan program berprestij TV3 itu. Malah tidak dinafikan ‘nyawa’ acara besar terbabit terletak sepenuhnya di bahu mereka yang diberi peluang mengendalikannya selaku pengacara.

Sebelum ini beberapa selebriti popular diberi peluang tetapi penampilan mereka di pentas mendapat kritikan. Walaupun mencuba sebaik mungkin, ternyata kurang berjaya memenangi hati hadiran dan penonton di rumah.

Begitupun, perubahan demi perubahan cuba dilakukan produksi agar majlis berlangsung menarik dan penuh warna dengan acara hiburan lebih segar di samping mengiktiraf bakat penggiat filem, drama dan produksi program.

Mahu mewujudkan kelainan, beberapa artis terkenal dan berpengalaman dalam bidang pengacaraan serta persembahan pentas, diberi peluang untuk bersama-sama Alif sebagai pengacara jemputan seperti Mira Filzah, Issey Fazlisham, Ajak Shiro, Haiza, Sarimah Ibrahim, Fiza Sabjahan, Azrel Ismail dan Puteri Aishah.

Sudah tentu penampilan Sarimah paling menarik perhatian memandangkan sudah lama pengacara yang memulakan kerjaya pengacaraan menerusi program The Attic Show itu tidak tampil mengendalikan program besar.

Apatah lagi peminat merindui keletahnya yang menghiburkan setiap kali tampil di pentas acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu mahupun program realiti Akademi Fantasia.

Ditemui baru-baru ini, Sarimah menjelaskan walaupun hanya bertindak sebagai pengacara jemputan di samping selebriti lain, dia tetap terharu atas peluang diberikan.

Katanya, walaupun berpengalaman dan membabitkan diri sebagai pengacara hampir 20 tahun tidak bermakna dia memandang rendah kemampuan selebriti lain yang turut diundang mengacara program ini.

“Tambah pula Alif sebagai pengacara utama, sudah tentu saya berasa teruja. Bagi saya pembabitan dalam ASK 2016 sebagai pengenalan sebelum tampil dalam program khas yang bakal diterbitkan dan disiarkan TV3.

“Saya rasa apa yang dilakukan penerbitan ASK 2016 dengan menggabungkan pengacara berpengalaman dan baru adalah sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya antara kami boleh berkongsi ilmu,” katanya.

Sarimah akui sebelum ini dia lihat kebanyakan pengacara baru terlalu mengawal diri sewaktu mengacara tetapi apabila mereka yang pengalaman turut sama mengendali acara dan tidak terlalu kaku, ia akan mewujudkan situasi lebih bersahaja dan ceria.

“Perkara ini saya pelajari dari pengacara senior seperti Datuk Aznil Nawawi. Apabila seseorang pengendali program mahupun acara terlalu berwaspada, ia akan menimbulkan suasana serius sedangkan acara hiburan seharusnya menghiburkan.

“Saya harap penonton terhibur dengan keletah kami nanti,” katanya.

Mira Filzah semakin dikenali sebagai pengacara apabila diberi peluang di acara besar Anugerah Bintang Popular BH 2015 dan juga 3 Juara.

Kini dia mahu menggunakan peluang diberikan produksi ASK 2016 untuk memantapkan lagi kemahiran mengacara daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Dia sedar tidak mempunyai asas dalam bidang pengacaraan sebaliknya semua dilakukan menerusi pemerhatian.

“Berpeluang bekerja dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang terbabit seperti Alif mahupun Sarimah adalah satu peluang besar yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Melihat perkembangan kerjaya seninya yang lebih menonjol dalam bidang pengacaraan, Mira bersyukur kerana apa yang dilakukan sekarang ini diterima baik umum.

“Saya tidak akan melupakan bidang lakonan malah sehingga tahun hadapan jadual saya penuh dengan beberapa tawaran berlakon telefilem mahupun drama bersiri,” katanya.

Haiza pula yang kini semakin dikenali peminat sebagai penyampai radio dan pengacara, menganggap Sarimah sebagai mentornya.

Baginya, Sarimah sangat bagus dan apabila tampil di pentas mengacara, isi percakapannya tidak kosong.

“Alif pula saya lihat sangat berbakat dan dia mampu mengikut jejak langkah Aznil Nawawi dengan menjadi pengacara disegani ramai. Kedua-dua mereka ini bijak apabila mengacara,” katanya.

Jelas Haiza, sepanjang hidupnya dia jarang memperoleh peluang mengendalikan acara berprestij dan disebabkan itu apabila diberikan peluang oleh TV3 dan produksi ASK 2016, dia tidak melepaskannya.

“Memang nanti apabila berdiri di sisi mereka saya akan dilihat kecil, begitupun kalau saya mahu memikirkan perkara dan menolak peluang yang datang, orang lain yang akan ambil.

“Saya pula akan terlepas peluang untuk belajar daripada mereka yang berpengalaman seperti Sarimah dan Alif,” katanya.

Selain itu kata Haiza, mengendalikan ASK 2016 akan membuka peluang kepadanya untuk bertemu rakan artis yang sudah lama tidak bertemu.

“Seperti Sarimah, saya sudah lama tidak bertemu dengannya. Bayangkan bertahun lamanya, alih-alih rezeki datang untuk kami bersama-sama berada di pentas mengendalikan ASK 2016,” katanya.

ASK yang menjulang bakat dan mengiktiraf penggiat seni dan karyawan tanah air bukan hanya rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad seperti TV3, NTV7, 8TV dan TV9 tetapi juga dari RTM, ASTRO, TV Al-Hijrah dan Hypp TV untuk sama-sama menyertai anugerah berprestij ini.

Mereka layak menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan program dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang ditetapkan. - HMetro

Sumber:Sini

Terima Kasih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

...Terima Kasih Komen Ikhlas Anda...
...Komen Anda Semua Sangat Dihargai...
....Kalau sudi jemput la datang selalu...

Asha Lya Copyright © 2016. Design by MaiGraphicDesign